Popular Posts

TOKSAH KALUT..Gunakan kotak ajaib ini utk mencari blog yg tertinggal...

JEEJOUN TRAVEL & OUTDOOR's Fan Box

Friday, February 4, 2011

XPDC ANGSI KE ANGSI 2011.




Pada 14 Januari 2011 bertempat di hadapan pejabat Kompleks Operasi Petronas Kertih.Taklimat ringkas serta harapan Pelantar Angsi dan PMO telah diberikan oleh En. Mazlan Tamyis(bekas penguasa Pelantar Angsi) kepada peserta sebelum acara pelepasan peserta dilakukan.Seramai 40 orang peserta berlepas dari sini dengan menaiki sebuah bas sebelum berkumpul dengan baki peserta yang telah sedia berkumpul di Hutan Lipur Ulu Bendul. Disana setiap peserta telah dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil bagi memberi peluang kepada semua peserta mengenali dengan lebih dekat diantara satu sama lain.Selain itu ianya juga bertujuan melicinkan perjalanan program yang dirancang seperti mendirikan khemah,memasak,mendaki dan sebagainya.Pada malam harinya, sesi taklimat ringkas telah disampaikan oleh ketua XPDC kepada semua peserta serta disusuli dengan sesi suaikenal.

Secara dasarnya program ini telah diserta seramai 79 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan Petronas Carigali (PMO),pelajar Politeknik Port Dickson N.Sembilan dan FLO Adventure Team.Kombinasi ini terjalin bagi melaksanakan satu misi iaitu selain mendaki Gunung Angsi,pembersihan trek dan puncak turut akan dilakukan bagi mengeluarkan sampah sarap yang ditinggalkan oleh pendaki-pendaki yang tidak bertanggungjawab.
15 Januari 2011..Setelah selesai menunaikan solat Subuh secara berjemaah dan mengadakan senaman ringkas.Seramai 70 orang peserta mula mengorak langkah membelah kesunyian pagi dengan menyusuri sungai Batang Terachi di hutan lipur tersebut. Sungai yang mengalir di tengah-tengah hutan lipur dan pembentukan batu-batan yang bertindak sebagai benteng dan landskap semula jadi di sepanjang sungai menjadikan hutan lipur ini satu kawasan yang unik.Untuk mendaki sehingga ke puncak Gunung Angsi tidaklah semudah yang disangka jika tiadanya kerjasama dan toleransi sesama peserta selain kekuatan individu itu sendiri.Ini kerana cabaran rupa bentuk muka buminya yang serba lengkap seperti mengharungi anak-anak sungai, laluan mencanak sebaik sahaja kami menyeberangi anak sungai. Keadaannya amat kering, merekah dan berlubang-lubang. Lubang dan rekahan terhasil dari hakisan air hujan yang mengalir. Akar pokok yang terdedah dan berselirat pula merentangi laluan dan memanjat menggunakan tali di celahan bukit adalah cabaran-cabaran yang terpaksa dilalui oleh setiap peserta XPDC ini.Apabila berada di puncak segala keletihan ketika mendaki tadi terus hilang dek kealpaan menikmati keindahan gunung dari puncak selain keriangan dan kepuasan yang menguasai diri.

Setelah selesai menikmati jamuan makanan tengahari di puncak Gunung Angsi dan memasang papan tanda peringatan .Operasi pembersihan kawasan daripada tinggalan sisa-sisa sampah terdahulu dilakukan disekitar kawasan puncak ,seterusnya menuruni disepanjang laluan denai yang dilalui tadi sehinggalah ke kawasan Kem Tangga Batu yang boleh diketegorikan sebagai ‘amat bermasalah’. Dengan jumlah pendaki yang ramai ini agak mudah untuk melaksanakannya.Sebanyak 3 guni sampah berjaya dikutip dan dikeluarkan dari hutan tersebut .Dengan terlaksananya operasi pembersihan tersebut maka berakhirlah sudah perjalanan program ini selain berjaya mendaki gunung Angsi.Diharap gunung ini akan pulih seperti sedia kala tanpa tinggalan sampah sarap daripada pengunjung yang tidak berkesedaran lagi selepas ini.Insyaallah……
Dengan kehadiran penguasa Pelantar Angsi yang baru iaitu En. M.Adzlan Che Ojang untuk menyampaikan sijil kepada semua peserta.Secara tidak langsung telah memberi semangat dan motivasi kepada peserta kerana terasa diri ini begitu dihargai dan memdapat sokongan dalam program sebegini.

Secara amnya penganjuran program ini bertujuan memberi pendedahan kepada setiap peserta.Seperti pentingnya penjagaan kesihatan diri dan pemakanan bagi melakukan aktiviti lasak seperti mendaki gunung.Jika aspek tersebut diabaikan oleh setiap individu nescaya misi untuk menakluki puncak gunung tersebut akan menjadi sukar dan tidak mustahil jika ianya gagal.Selain itu dari segi keselamatan peserta, itulah keutamaan memandangkan penyertaan pesertanya yang ramai dan banyak halangan muka bumi yang perlu ditempuhi. Dan Alhamdulillah,semuanya selamat.Selain dapat mendaki gunung tersebut sekurang-kurangnya dapat mendedahkan peserta dengan alam sekitar dan menyedari betapa pentingnya kita memeliharanya demi generasi akan datang.

Akhir sekali saya ingin mengucapkan ribuan ucapan terima kasih kepada semua peserta yang bersama-sama mengikuti program ini kerana kerja2 yg anda lakukan adalah kerja mulia tanpa mengharapkan balasan dunia tetapi insyaallah akan ada juga balasannya suatu hari nanti.Cuma antara sedar atau tidak saja balasan yang telah tertulis itu nanti.
Sekian...

Bagi sesiapa yang ingin mengikuti xtvt2 akan datang,sila pantau di laman fb saya...
JEEJOUN TRAVEL & OUTDOOR