Popular Posts

TOKSAH KALUT..Gunakan kotak ajaib ini utk mencari blog yg tertinggal...

JEEJOUN TRAVEL & OUTDOOR's Fan Box

Saturday, November 13, 2010

Xplorasi Air Terjun Chemerong - Gunung Berembun - Puncak Lansir.



Perjalanan “Xplorasi Air Terjun Chemerong-Gunung Berembun-Puncak Lansir” ini bermotifkan serampang dua mata dimana selain para peserta mendaki dan menikmati keindahan khazanah alam di situ.Ianya juga diselitkan dengan operasi kecil membersihkan sampah sarap dikawasan-kawasan yang diketegorikan sebagai bermasalah dan membimbangkan.Ini berdasarkan pengamatan saya pada trip sebelumnya iaitu pada 2-3 Okt 2010 baru-baru ini.

22-24 Okt. 2010 menjadi tarikh pilihan dan pemulaan cerita dimulai dengan kumpulan kami melapurkan diri di Balai Polis Kuala Jengal tentang kehadiran dan tujuan kami ke sana.Kemudian kumpulan konvoi kami meneruskan lagi perjalanan ke destinasi yang dituju iaitu Hutan Lipur Chemerong dimana sekumpulan kakitangan daripada Jabatan Perhutanan memang telah menantikan kehadiran kami.Disitu, kami dan pihak perhutanan mengadakan sedikit taklimat ringkas yang berkisar tentang kepentingan memelihara hutan dan ekosistemnya.Selesai taklimat dan bacaan doa, persiapan terakhir peserta dilakukan sebelum perjalanan diteruskan.

Balai Polis Kuala Jengal,Dungun.



Pegawai-pegawai daripada Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.


"Sesi taklimat"


Cabaran permulaan kami bermula dengan menyeberangi Sungai Chemerong sambil meniti batu-batu yang berarus. Trek berikutnya, yang terpaksa kami tempuhi, amat curam dan memenatkan. Badan pulak telah lama membasahi baju menongkah bukit yang terlampau canaknya. Agak lama juga laluan mencanak itu kami tempuhi. Kami seterusnya tiba di satu persimpangan dan menyusuri trek yang mula mengurang kecuramannya. Pada masa-masa tertentu, kami berhenti seketika untuk melepaskan lelah mendaki sambil meneguk minuman dan mengunyah makanan.Disini kedengaran titisan-titisan kecil air hujan mula membasahi baju dan dengan segera kami memperkemaskan plastik yang melindungi bag yang digalas daripada basah.
Pergerakan langkah mula dipercepatkan agar kumpulan kami dapat sampai di Kem Balak sebelum hujan lebih lebat lagi.Sebelum tiba ke kem tersebut,sebuah lagi anak sungai perlu diharungi oleh kami dan dikem tersebut terdapat sebuah pondok kecil yang membolehkan kami menikmati juadah makanan tengahari daripada dibasahi hujan.Keadaan persekitan kem ini agak menyedihkan memandangkan banyak sampah sarap di segenap tempat dan disebabkan cuaca masih lagi hujan maka kami memutuskan untuk membersihkannya nanti apabila balik daripada Puncak Lansir . Kira-kira sejam selepas meninggalkan Kem Balak, kami tiba di Kem Y.Kawasan tersebut lengang dari pengunjung dengan jeram cetek yang mengalir deras. Kami kemudiannya duduk mandi dalam alirannya yang jernih dan dingin untuk membersihkan badan sebelum bersolat dan memasang khemah untuk bermalam.


Perjalanan hari kedua diteruskan lagi setelah operasi pembersihan dilakukan di Kem Y.Terdapat banyak papan tanda menunjukkan jarak ke Air Terjun Lansir di sepanjang denai untuk kemudahan pengunjung. Trek kemudiannya beransur mudah dan kami berhenti rehat sebentar sambil melihat dengan lebih dekat sebatang pokok yang agak unik iaitu ‘pokok penaga berlubang’. Kami seterusnya menyambung perjalanan sejam kemudian. Trek agak menaik tetapi kemudiannya menurun semula. Kami menempuh hutan pokok kerdil ala bonsai dengan anak sungai yang mengalir jernih.



Pokok Penaga Berlubang.



Kami kemudiannya mendaki semula dan tiba di puncak Gunung Berembun (1108 meter/3,405 kaki) dan disini kami berhenti rehat dan menikmati santapan tengahari iatu nasi goreng yang dibungkus.Disini masa diambil seketika untuk sesi bergambar memandangkan ianya merupakan puncak tertinggi dikawasan tersebut. Trek yang kami hadapi berikutnya amat curam tetapi kami bernasib baik kerana ianya kering. Kami menuruni trek yang berselirat dengan akar pokok itu dengan hati-hati. Tali nilon yang terpasang di beberapa lokasi kritikal banyak membantu.
Kami kemudiannya menyusuri tebing sungai dengan alirannya yang mengalir jernih dan memukau. Kami juga meniti batu-batu ke seberang sungai yang tidak terlalu lebar itu. Kini, kami mula menempuh Sungai Lasir selepas meninggalkan puncak Gunung Berembun, kami tiba di Air Terjun Lasir. Keindahan alam maya di kawasan tersebut amat indah dan memikat. Hamparan batu bertingkat dengan air mengalir membentuk air terjun rendah, kolam bertakungan dengan air sejernih Kristal,perghhhhh………………..



Selepas itu kami menyusuri semula tebing Sungai Lasir yang berpasir dan berbatu. Perjalanan singkat itu membawa kami ke sebuah tapak perkhemahan iaitu Puncak Lansir (1021 meter)dan disitulah kami akan bermalam. Pemandangan di situ juga tidak kurang hebatnya. Hamparan batu beralun dengan sungai yang mengalir jernih.


Operasi pembersihan di Puncak Lansir.


Secara keseluruhannya, program sebegini telah meninggalkan memori indah yang tiada nokhtah dan kenangan yang sudah pasti tidak akan luput dalam ingatan.Dan kami bersyukur ianya berjaya dilakukan tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.Ucapan jutaan terima kasih di ucapkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu kerana dapat memberi kerjasama penuh kepada kami dan sudi menghantar wakil iaitu En Khairul bagi mengiringi pengembaraan ini.

No comments:

Post a Comment