Popular Posts

TOKSAH KALUT..Gunakan kotak ajaib ini utk mencari blog yg tertinggal...

JEEJOUN TRAVEL & OUTDOOR's Fan Box

Monday, February 20, 2012

Lesson Learnt: Kejadian pecah rumah

Aku mendapat 1 email yg mana aku rasa patut berkongsi dgn semua orang.Sekurang-kurangnya kita dpt mengatasi kelemahan yang mana ada dan lebih berhati-hati dilain masa.

Sekian
-Jeejoun-




Assalamualaikum WBT/Selamat sejahtera,

Saya ingin berkongsi sedikit pengajaran (lesson learnt) daripada kejadian yang menimpa saya sekeluarga semalam supaya kita semua dapat mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian yg sama daripada berlaku.

Apa yang berlaku:

· Rumah saya di Bandar Baru Kerteh telah dipecah masuk semalam (15/11/2011) di antara pukul 2.00 – 6.00 pagi ketika kami sekeluarga berada di dalam rumah!

Barang yang dicuri:

· Beg tangan isteri berisi dompet, satu set kunci rumah dan sebuah netbook. Dalam dompet tersebut ada wang tunai (beberapa ratus ringgit), kad kredit, kad ATM, KP sementara dan lesen memandu isteri.

Kerugian lain:

· Gril belakang yang dipotong.

· Kunci mangga yang perlu diganti.

· Alat berkebun yang digunakan untuk mengumpil pintu rumah.

Bagaimana kejadian terjadi:

· Penceroboh mengumpil kunci pintu dapur, memotong bahagian gril yang lemah (corak daun) dan masuk melalui bukaan sempit yang dihasilkan.

· Menurut pihak polis, pencuri mungkin menggunakan seorang kanak-kanak untuk masuk melalui bukaan tersebut.

· Penceroboh melarikan diri dengan membuka pintu menggunakan kunci rumah.

Tindakan yang telah diambil:

· Melaporkan pada pihak polis.

· Menelefon semua bank untuk block semua kad.

· Menukar semua mangga kunci rumah memandangkan satu set kunci rumah turut hilang dalam kejadian.

Modus operandi Penceroboh:

“Lawatan Pertama”

· Beberapa hari sebelum Hari Raya Haji dua orang lelaki datang ke rumah menawarkan khidmat potong rumput.

· Salah seorang memperkenalkan diri sebagai ‘Din’ (suspek) dan memberi nombor telefon 09-8261433 bila diminta (panggilan tidak berjawab sejak pagi tadi)

· Suspek agak ‘ramah’ dan bertanya pelbagai soalan berkenaan rumah dan diri saya termasuk kampung asal, berapa lama tinggal, berapa orang ahli keluarga, keadaan rumah dsb.

· Suspek turut menawarkan perkhidmatan lain seperti pendawaian, menambak laman dan menanam rumput dan bertanya bila saya ada di rumah untuk membolehkan dia datang buat kerja.

· Saya membenarkan suspek memotong rumput dengan upah RM20.

“Lawatan Kedua”

· Beberapa hari selepas Hari Raya Haji, suspek tiba-tiba datang lagi sekitar Maghrib menawarkan pasir, kononnya ada lebihan dari kerja tempat lain. Saya menolak.

· Suspek cuba mendesak dengan menawarkan untuk membersihkan halaman, membuang batu-batu dan menambak pasir dan bertanya sama ada saya ada di rumah atau tidak pada hari esoknya.

· Setelah ditolak, suspek menawarkan pula ikan segar, kononnya dia baru pulang dari laut.

· Saya bersetuju untuk beli sikit (2kg dgn harga RM10/sekilo) dengan niat untuk membantu dan supaya dia cepat beredar dari rumah saya.

· Saya membayar dengan not RM50 memandangkan tiada duit kecil. Suspek menyatakan dia tiada duit kecil dan mahu ke stesen minyak berdekatan untuk menukar baki.

· Suspek tidak kembali selepas itu.

Pengajaran/Langkah-langkah pencegahan:

· Jangan terima/benarkan orang yang datang untuk potong rumput/bertukang/kerja-kerja lain dengan tiba-tiba walaupun upah yang diminta murah.

· Sekiranya dia masih merayu/mendesak minta nama, nombor telefon, alamat dan tengok nombor plat kenderaan yang dinaiki oleh orang-orang berkenaan. Jika boleh, ambil gambar.

· Jangan melayan perbualan ‘ramah’ orang yang tidak dikenali supaya tidak mendedahkan perkara-perkara yang membolehkan dia mengagak bila rumah tidak berpenghuni, jadual harian kita dsb.

· Jangan tinggalkan kunci rumah dan barang berharga terutama wang tunai di ruang tamu, dalam kereta atau di tingkat bawah (sekiranya bilik tidur di tingkat atas).

· Kalau terdengar bunyi yang pelik, jangan abaikan sebagai bunyi kucing, angin atau sebagainya. Periksa sambil membawa sesuatu yg boleh dijadikan senjata, just in case.

· Sentiasa kunci pintu pagar rumah setelah masuk ke dalam rumah dan apabila keluar. Ketika “Lawatan Kedua”, suspek masuk terus sehingga pintu hadapan rumah ketika Maghrib.

· Jangan tinggalkan alatan berkebun seperti cangkul, garfu tanah, rake dsb di luar rumah.

· Sentiasa awasi dan selia kerja-kerja yang dilakukan oleh kontraktor/tukang walaupun di kawasan luar rumah.

· Sentiasa berwaspada dengan orang yang tidak dikenali. Jangan mudah percayakan orang.

· Simpan nombor balai polis berdekatan (Polis Kerteh: 09-8261222).

Langkah-langkah pencegahan lain (bergantung pada bajet/situasi)

· Pasang sistem penggera atau CCTV.

· Tukar gril kepada jenis palang biasa yang sukar dipotong atau dibengkokkan.

· Pasang kunci jenis selak pada pintu kayu.

· Menubuhkan rukun tetangga untuk kawasan perumahan.

Mujur…:

· Barang-barang berharga lain kebanyakannya berada di tingkat atas rumah.

· Penceroboh tidak naik ke tingkat atas rumah dan tidak mengapa-apakan anak-anak dan isteri.

Lain-lain:

· Ini merupakan kejadian ketiga pecah rumah di kawasan rumah saya yang mensasarkan rumah lot tepi. Cara pecah masuk hampir sama (melalui pintu belakang, dan gril dipotong)

· Penceroboh semakin berani kerana memecah masuk ketika ada orang di rumah. Kes-kes sebelum ini selalunya berlaku ketika tiada orang di rumah dan pada musim cuti.

· Penceroboh selalunya mencuri wang tunai, atau barang-barang berharga yang senang dibawa dan dijual seperti barang kemas, laptop dan telefon bimbit.

· Penceroboh berkemungkinan penagih dadah yang terdesak. Golongan sebegini adalah sangat berbahaya. Jangan ambil tindakan melulu sekiranya berhadapan dengan mereka.

Terima kasih,

MSA