Popular Posts

TOKSAH KALUT..Gunakan kotak ajaib ini utk mencari blog yg tertinggal...

JEEJOUN TRAVEL & OUTDOOR's Fan Box

Thursday, February 11, 2010

Umai Rindu pada hutan.

Mungkin bingkisan cerita yg aku ambil daripada akhbar Kosmo ini dapat memberi sedikit maklumat yg boleh dikongsi oleh para peminat sukan/aktiviti mendaki secara amnya....


Mahu kembalike Gunung Tahan


Meskipun dua tahun berlalu, namun insiden tersesat selama 19 hari di Gunung Tahan masih tersemat kemas dalam memorinya. Bahkan, Umai menaruh harapan untuk kembali ke sana dan perkara pertama yang mahu dilakukanya ialah meneguk air sungai di situ.




TIGA hari lalu, genap dua tahun peristiwa pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis, Umai atau nama sebenarnya Nur Umaisarah Sameaun sesat di Gunung Tahan.

Namun, bagi empunya diri yang kini berusia 23 tahun, memori yang tersemat di ruang sanubarinya menganggap kejadian menimpanya itu seolah-olah mimpi ngeri yang baru semalam terjadi.

Kini, Umai sedang melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor dan bakal menamatkan pengajiannya pada pertengahan tahun depan.

Pada masa yang sama, dia menyimpan rindu dendam untuk menawan kembali Gunung Tahan yang pernah menjadi 'penjaranya' selama 19 hari sepanjang 7 hingga 26 Februari 2008.

"Saya tidak trauma atau serik untuk ke hutan selepas kejadian itu, malah terlalu teringin dan rindu untuk menjejakkan kaki semula ke sana. Cuma sehingga kini belum ada berkesempatan.

"Perkara pertama yang saya akan lakukan apabila berkunjung ke sana adalah meneguk air sungai di situ yang menjadi nadi kepada saya meneruskan kehidupan sepanjang bertungkus-lumus mencari jalan keluar," katanya yang turut berhasrat singgah semula di batu di tepi sungai yang menjadi 'tilam empuknya' dalam gelap malam.


UMAISARAH dan kawan-kawannya gemar mengikuti ekspedisi kembara lasak.


Malah katanya, ibu dan ayahnya juga merancang ke Kuala Tahan di Taman Negara untuk berjumpa dengan kumpulan renjer pertama yang menjumpainya. Ibu bapanya ingin menyampaikan rasa terima kasih kerana kejayaan operasi mencari dua tahun lalu.

Ternyata pengalaman itu sungguh istimewa buatnya. Kalau tidak, masakan Umai mahu mengabadikan kisah sesat selama 19 hari ketika menyertai ekspedisi Komander Kesatria itu dalam sebuah buku.

Buku bertajuk 19 Hari Sesat di Gunung Tahan setebal 164 muka surat terbitan Buku Prima itu menceritakan setiap detik Umai bertarung nyawa di hutan itu.

"Buku itu menceritakan daripada hari pertama saya sesat sehinggalah saya diselamatkan. Ia berkisar tentang perkara yang saya lakukan demi survival, termasuk jerih payah meneroka seluruh pelosok hutan untuk mencari jalan keluar.

Sebenarnya, hasrat untuk membuat catatan diari terlintas ketika sudah seminggu Umai 'terjerat' dalam belantara itu.


KERATAN akhbar Kosmo! yang tidak ketinggalan melaporkan kes Umai yang sesat di dalam hutan.


"Saya rasa, pengalaman tersebut perlu dibukukan supaya pembaca dapat membayangkan segala yang dialami oleh saya pada masa itu," katanya yang mula merangkaikan bibit-bibit pengalaman sesatnya tiga hari selepas diselamatkan.

Buku tersebut telah siap pada awal bulan Mac tahun lalu dan telah diterbitkan dua bulan kemudian.

Apakah momen yang paling terkesan dalam dirinya sepanjang menjadi 'penghuni' hutan Gunung Tahan, Umai yang mendapat jolokan Mai Komando memberitahu, saat bermalam di perut hutan amat diingatinya hingga kini.

Takut

"Keadaan malam begitu kelam dan sunyi hinggakan saya sentiasa dihantui perasaan takut. Setiap kali diuji dengan rasa sejuk dan lapar, hati saya meronta-ronta untuk segera kembali ke pangkuan keluarga

"Satu persatu wajah orang tersayang bermain di fikiran. Perasaan itu sungguh menginsafkan. Air mata sudah menjadi peneman setiap kali mahu melelapkan mata," ceritanya.

Tambahnya, apabila terkenang peristiwa itu dia pasti sebak dan tumpas untuk menahan air matanya daripada mengalir. Kisah itu umpama mimpi kerana dia tidak menyangka akan diberi peluang kedua untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga tersayang.

"Selepas seminggu sesat di dalam hutan, saya sudah berputus harap dan hilang keyakinan untuk mencari jalan keluar. Saya sering membayangkan dapat bertemu jalan keluar tetapi tidak pasti sama ada keluar dalam keadaan bernyawa atau tidak.

"Tipulah kalau saya kata tidak takut. Sudahlah berseorangan di dalam hutan yang gelap gelita yang menyeramkan, macam-macam adegan filem seram mengganggu dalam benak fikiran," katanya.

Masuk hari ke-15 terperangkap dalam rimba gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia itu, Umai masih belum menemui tanda-tanda bahawa dia akan meninggalkan kawasan tersebut. Sehinggalah Umai mendapat pertunjuk dalam mimpi.


PELBAGAI usaha dijalankan untuk menjejaki Umai yang hilang.


Dalam mimpi itu kelihatan gurunya yang dipanggil Cikgu Nasri dan rakannya, Syed Zahir, bersila di atas batu yang menjadi tempat tidurnya.

Dalam mimpi itu, Umai memberitahu hasratnya untuk meninggalkan tempat tersebut, namun Cikgu Nasri menunjukkan nota di atas sekeping kertas yang bertulis 'jangan jalan dulu kerana bantuan akan sampai'.

Apabila Umai mahu mendapatkan penjelasan lanjut, kelibat Cikgu Nasri dan rakannya hilang begitu sahaja.

Walaupun sedar bahawa itu hanyalah mimpi, namun pesanan itu dipegangnya juga tetapi hanya untuk sehari. Dia bosan menunggu kerana bantuan yang dinantikan tidak kunjung tiba.

Perjalanan yang mencabar itu diteruskan sehingga kira-kira sejauh 30 kilometer sehinggalah dia tiba di sebuah tapak perkhemahan. Umai telah ditegur oleh seorang lelaki, Ubaidillah Deris yang ketika itu sedang menjadi jurupandu arah untuk dua orang pelancong asing. Itulah detik kebebasan buat Umai.

Pemakanan berubah


SAAT cemas setelah Umai berjaya dibawa keluar dari hutan dan dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.


Selepas ini kata Umai, sebelum hendak memasuki hutan atau mendaki gunung, dia akan bawa bersama kelengkapan wajib iaitu lampu suluh, pemetik api, wisel, cermin dan pisau kecil bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Ibunya, Nur Azah Ismail, 45, ketika dihubungi memberitahu, sejak peristiwa anaknya sesat di hutan dua tahun lalu, corak pemakanan Umai mula berubah.

"Sebelum ini, Umai berbadan gempal, namun selepas kehilangan berat badan sebanyak 14 kilogram, dia hanya makan sedikit sahaja. Nak jaga badan katanya.

"Terasa hati juga apabila Umai yang pulang sekali sekala ke rumah dari UiTM tidak berselera seperti selalu. Dia hanya makan nasi sedikit tidak seperti selalu," kata Nur Azah.

Tambahnya, tingkah laku Umai juga berubah. Umai sangat selektif apabila melakukan aktiviti dengan rakan-rakannya supaya ia tidak berunsur hiburan yang melalaikan.

Tambah ibunya lagi, kalau ada kawan Umai yang sekadar mengajak ke karaoke pun, Umai berat hati untuk penuhi hasrat kawannya. Umai mungkin ada sebabnya sendiri.

"Umai sekarang rajin berpuasa. Apabila ditanya mengapa, dia hanya menjawab mahu merasai semula rasa lapar seperti dia sedang sesat di hutan tanpa bekalan makanan.

"Dia sepertinya tidak mahu mensia-siakan peluang kedua yang diberikan oleh Allah setelah selamat kembali ke pangkuan keluarga," ujarnya.

Sementara itu, dalam buku 19 Hari Sesat di Gunung Tahan, Ubaidillah memberitahu, sebelum Umai sesat di hutan kawasan tersebut ada seorang wanita berketurunan India mengalami masalah yang sama tetapi dia hanya sesat sepuluh hari sahaja.

"Wanita tersebut merupakan seorang doktor yang pakar dalam bidang tumbuh-tumbuhan.

"Walau sesat, dia masih tahu memilih makanan yang tidak beracun untuk mengalas perut. Namun ketika wanita itu ditemui dan diselamatkan dia dalam keadaan terbaring dan nyawa-nyawa ikan," katanya.

Sumber rujukan:

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0210&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

No comments:

Post a Comment