Alhamdulillah,
saya pun pernah terfikir macam ni,
bila baca artikel ni, baru berbaloi rasa kerja secara ikhlas..
Syukran..
 
Bersyukur apa yang kita dapat,
Sayangi apa yang kita ada.,
ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS? 
Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.
“Saya tidak  mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak  berterus-terang.
“Mengapa?” balas saya.
“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa  bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang  wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu  orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.” 
Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?
Sewaktu rehat,  sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya  berapa orang anak?”
Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam  sesi sebelumnya dapat diredakan.
“Oh ramai encik…”
“Bagaimana dengan anak-anak kakak?” 
Wah, saya lihat  dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan  semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi  doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi  hafiz.
“Kakak, boleh saya bertanya?”
“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya  sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang,  semua anak-anaknya menjadi. 
“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang  kakak pilih?”
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik  pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”  
Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”
Saya tersenyum.  Hati ibu, begitulah semestinya.
“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam  organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.
“Maksud encik?”
“Allah telah  membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan  kepada kakak anak-anak yang menjadi.”
“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…” 
“Allah Maha  Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk  dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu  hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan  kembali kepada kita. Yakinlah.”
“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?”
“Maksud kakak?” 
“Macam ni, saya  buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan  kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya  diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”
“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri.  Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan  dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!” 
Kakak itu  termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam  organisasi dengan familinya.
“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu  jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah  kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita.  Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…” 
Saya berhenti  seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar  penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.
“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau  setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita  pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya  logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan  untuk kita?” 
Kakak itu  tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.”
“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’
“Pasti ada! Insya-Allah.”
“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong.  Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada  kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan  kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa  kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.” 
“Subhanallah!”
“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam  kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang  membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya.  Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”
“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak  itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan. 
“Kakak, ikhlas  sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa  yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana  setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama  bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!”
“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”
“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi,  Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.” 
“Maksud encik?”
“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang  lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”
“Jadi orang ikhlas  akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih  baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!” 
Giliran saya pula tersenyum.
“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah.  Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat  akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun.  Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back… Golden rule itu  bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu,  mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas  dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar. 
“Jadi apa yang  harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa  bulan lagi ni?”
“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi  Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang  sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah  tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya  kerana tidak dapat penghargaan…”
“Maksud encik?” 
“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”
“Kenapa?”
“Kita akan sakit jiwa!”
“Kenapa?”
“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau  kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima  kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit  sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub  dalam Al Quran. 
“Tetapi Allah  tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.
“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada  yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang  tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”
“Ah, kita terlalu ego…” 
Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?
terima kasih kerana menyiarkan maklumat seperti ini.setiap perkara yang berlaku ada hikmah disebaliknya......
ReplyDeletesama-sama..saya sekadar berkongsi maklumat seadanya.Mungkin sedikit sebanyak maklumat2 tersebut boleh memberi manfaat kpd kita semua.Insyaallah
ReplyDeleteSaya bukan lah jenis org yg ikhlas sgt dlm perbuatan......tapi saya memang tergolong dlm golongan yg tak suka ampu / bodek / cari nama... jadik mmg lah ada sikit2 kena tindas.....
ReplyDeleteTerima kasih sbb menyedar kan saya konsep ikhlas itu....
Saya pun bukannya bagus pun,sekurang-kurangnya kita berusaha memperbaiki diri..Yg penting kita sedar siapa diri kita atau lebih tepat 'sedar diri'...sama-sama.
ReplyDelete